JABATAN Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diketuai individu dikenali sebagai ‘Mat Sero’ dalam serbuan operasi khas yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan di kawasan tempat letak kenderaan awam itu berjaya menahan lapan buah kenderaan dipercayai digunakan untuk mengangkut PATI.
Menurutnya, operasi yang bermula jam 5.52 pagi itu membabitkan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta Imigresen Kelantan.
“Tiga lelaki tempatan yang diketuai oleh `Mat Sero’ dan seorang lelaki warganegara Myanmar yang dipercayai sebagai transporter berjaya ditahan.
“Turut ditahan, 35 warga asing berusia antara 5 hingga 45 tahun terdiri daripada 22 lelaki, 12 perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, modus operandi sindiket itu adalah membawa masuk PATI melalui laluan tikus di sempadan Kelantan sebelum diserahkan kepada transporter tempatan untuk dihantar ke lokasi tertentu di Lembah Klang.
“Bayaran yang dikenakan adalah sekitar RM400 hingga RM500 seorang mengikut jarak perjalanan. Sindiket ini dikesan beroperasi setiap minggu dan dipercayai bergerak aktif sejak enam bulan lepas,” katanya.
Turut dirampas, tiga telefon bimbit dan lapan kenderaan pelbagai jenis termasuk Mitsubishi Triton, Toyota Cross, Toyota Innova, Toyota Rush, Isuzu D-Max, Nissan X-Trail, Toyota Voxy dan Proton X90.

Zakaria menegaskan JIM akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki rangkaian sindiket tersebut serta bertindak tegas tanpa sebarang kompromi.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007, manakala 35 warga asing ditahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


