BEKAS Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik kalah dalam samannya terhadap sebuah firma amanah tempatan bagi menuntut semula pelaburan bernilai RM3 juta yang dibuat pada 2018.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Dr Arik Sanusi Yeop Johari berkata, plaintif gagal membuktikan kesnya terhadap defendan, MY Premier Trustee Bhd, berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Hakim Dr Arik turut memerintahkan pembatalan serta-merta injunksi Mareva, atau perintah pembekuan ke atas aset MY Premier, dan membenarkan tuntutan balas firma itu berhubung fitnah serta pemerolehan injunksi yang salah.
Penaksiran ganti rugi bagi tuntutan balas dan kos ditetapkan pada 24 April, lapor FMT.
Dua tahun lepas, Abdul Rahim, 75, memfailkan saman itu terhadap The Rain Maker Management Sdn Bhd dan MY Premier Trustee.
MY Premier Trustee adalah sebuah syarikat amanah bebas, manakala Rain Maker ialah syarikat ejen pemasaran bagi Asia Cornerstone, yang telah digulung dan tidak diwakili di mahkamah. Asia Cornerstone bagaimanapun tidak dinamakan dalam saman Abdul Rahim.
Abdul Rahim memeterai perjanjian dengan Asia Cornerstone dan mengikut terma perjanjian, beliau memindahkan dana kepada MY Premier Trustee yang memegang wang itu sebagai amanah. Urus niaga itu menjanjikan pulangan terjamin sebanyak 15 peratus setahun selama dua tahun.
Beliau dikatakan menerima 23 bayaran pulangan berjumlah RM862,500 antara 2018 dan 2020. Bagaimanapun, pulangan terakhir sebanyak RM37,500 tidak dibayar.
Beliau memfailkan saman itu bagi menuntut pemulangan jumlah pelaburannya sebanyak RM3 juta, serta faedah dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Abdul Rahim memperoleh injunksi Mareva terhadap kedua-dua defendan tetapi tidak dapat meneruskannya terhadap Rain Maker kerana syarikat itu telah digulung.
Dalam pembelaannya, MY Premier Trustee menyatakan ia telah menunaikan semua kewajipannya dengan memindahkan dana kepada Asia Cornerstone, dan mengemukakan keterangan dokumen termasuk penyata bank, resit, dan surat.
Syarikat itu turut memfailkan tuntutan balas bagi fitnah dan pembatalan injunksi Mareva itu.
Peguam Choo Shi Jin dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Abdul Rahim manakala peguam S Raam Kumar bertindak bagi pihak MY Premier.


