SEORANG Raja dadah Thailand yang diburu dengan ganjaran 1 juta baht (kira-kira RM130,000), mempunyai lebih 60 waran tangkap dan pernah berpura-pura mati, ditahan di Korea Selatan dan diekstradisi ke Thailand semalam.
Pihak berkuasa keadilan membawa suspek yang dikenali sebagai Thapanan atau Noo Chen, 43, pada sidang media di Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB) selepas ketibaannya di Suvarnabhumi International Airport dari Korea Selatan.
Menurut ONCB, Thapanan merupakan seorang penagih dadah yang kemudiannya menjadi pengedar kecil di kawasan sepanjang Srinagarindra Road di wilayah Samut Prakan dari tahun 2000 hingga 2002.
Kemudian, dia menjalin hubungan dengan kumpulan etnik di negara jiran dan membina sebuah kilang dadah berhampiran Thailand. Rangkaiannya menyeludup puluhan juta pil yaba serta lebih satu tan methamphetamine kristal ke Thailand selama kira-kira sedekad. Lebih 60 waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya.
Pada tahun 2009, dia ditahan bersama 26,000 pil yaba di Samut Prakan dan melarikan diri ke negara jiran semasa dalam proses rayuan.
Pada penghujung 2022, Thapanan dilaporkan “dibunuh” dengan mayatnya dibuang ke Moei River di Myawaddy. Namun, polis imigresen Thailand kemudian mendapati dia masih hidup.
Suspek bersembunyi di Laos, Vietnam, Jepun dan akhirnya di Korea Selatan sebelum ditahan pada Isnin.
Setiausaha Agung ONCB, Suriya Singhakamol berkata kartel Thapanan bertanggungjawab terhadap 25% hingga 30% penyeludupan dadah ke Thailand setiap tahun.
Suspek berada dalam senarai paling dikehendaki polis narkotik .


