JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman merekodkan sejumlah 238 pertuduhan terhadap pemandu mabuk menerusi 255 operasi di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Mac lalu.
JSPT dalam perkongsian di Facebook memaklumkan, pihaknya mengambil 100 peratus tindakan undang-undang dan tiada kompromi terhadap pemandu mabuk yang berisiko memberi kesan kepada pengguna jalan raya lain.

Menurut jabatan itu, operasi dilakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan dan mencegah pemandu mabuk sekali gus meningkatkan kesedaran serta menguatkuasakan undang-undang.
“Tiada alasan, tiada pengecualian dan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang memandu dalam keadaan mabuk,” menurut kenyataan JSPT itu baru-baru ini.
Kesalahan memandu dalam keadaan mabuk disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda minimum RM10,000, penjara sehingga dua tahun serta penggantungan lesen memandu selama dua tahun jika disabitkan kesalahan.
Tegas jabatan itu lagi, memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah adalah jenayah serius yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.
Tambahnya, pemanduan dalam keadaan mabuk boleh menyebabkan kematian, kecederaan parah, kecacatan kekal, serta penderitaan jangka panjang kepada mangsa.


