SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti terdapat individu lain yang turut disyaki terbabit rasuah berkait siasatan dijalankan SPRM terhadap seorang pegawai kanan Tentera Darat melibatkan beberapa projek tender perolehan pasukan itu.
Dalam satu kenyataan melalui akaun Tik Tok, SPRM memberitahu individu utama yang disyaki terlibat masih menerima rawatan perubatan.
‘’Sehubungan itu, keterangan individu berkenaan masih belum diambil sepenuhnya. SPRM menghormati aspek kesihatan serta hak individu tersebut selaras dengan prinsip undang-undang dan akan mengambil keterangan sebaik sahaja beliau disahkan sihat oleh pihak perubatan,’’ kata kenyataan itu.
SPRM turut memaklumkan bahawa tiada tempoh masa tetap ditetapkan bagi setiap fasa siasatan kerana tempoh siasatan bergantung kepada kerumitan kes, jumlah saksi, serta keperluan analisis dokumen dan kewangan.
‘’Selain suspek utama, SPRM telah mengenal pasti beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini, dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperoleh,’’ kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, SPRM mengesahkan bahawa tindakan pengesanan dan sekatan aset sedang dijalankan. Namun, jumlah nilai aset atau akaun bank tidak didedahkan buat masa ini memandangkan proses siasatan masih berjalan dan tidak semua aset telah dibekukan sepenuhnya.
SPRM menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang, tanpa sebarang campur tangan.
‘’SPRM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat,’’ kata kenyataan itu lagi.


