JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarikei berjaya merampas rokok dan minuman keras tidak berkastam bernilai keseluruhan RM7,288,455.05 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Sibu, Sarawak bulan lalu.
Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, rampasan itu melibatkan sejumlah 6,766,400 batang rokok dan 89,416.80 liter minuman keras pelbagai jenama yang disyaki disimpan tanpa kelulusan kastam.
“Serbuan dijalankan pada jam 9.15 malam 19 Disember lalu hasil maklumat risikan Ibu Pejabat, oleh sepasukan pegawai dari Unit Operasi Darat, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sarikei,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.
Menurut beliau, pemeriksaan di premis beralamat di Lorong Rantau Panjang Jaya 3H menemukan barangan yang disyaki sebagai barang larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Nilai sitaan bagi rokok dan minuman keras tersebut dianggarkan sebanyak RM1,209,043.20, manakala jumlah duti import dan cukai terlibat pula dianggarkan sebanyak RM6,079,411.85.
Beliau berkata, modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menyimpan rokok serta minuman keras tidak berkastam di premis kediaman bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Kes ini kata beliau, disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import.


