SEORANG wanita warga emas yang melintas jalan secara tiba-tiba maut akibat dilanggar sebuah motosikal ditunggangi seorang anggota polis di hadapan Dewan Bukit Pagar, Jalan Bidor Lama di Tapah hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.55 pagi itu, anggota polis berusia lingkungan 20-an terbabit dikatakan dalam perjalanan dari rumah ke tempat kerja di kawasan pekan Tapah sebelum terlibat dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia lingkungan 80-an dikatakan telah melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan penunggang motosikal berkenaan tidak sempat mengelak.
“Berikutan perlanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Malik, anggota polis itu turut mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Tapah dengan ambulans untuk menerima rawatan.
Katanya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-401 1222 atau pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Faizan Ahmad @ Mohammed Razikin di talian 013-208 7919.


