SEBUAH rumah yang dijadikan sebagai kedai berhampiran Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (SIRAJ) Abdullah Ibnu Abbas, Jalan Kampung Pantai Dalam, Kuala Lumpur terbakar tengah hari tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 12.42 tengah hari.
Menurut Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said, seramai 22 anggota bersama tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah jentera tangki air digerakkan bagi operasi pemadaman.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah yang dijadikan kedai dengan keluasan kira-kira 18.3 x 9.1 meter (60 x 30 kaki) persegi dan kemusnahan dianggarkan sebanyak 60 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan terlibat berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 1.04 petang.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.


