‘TEKAD Ummah’ itulah gagasan idea yang dicetuskan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr.Muhammad Akmal Saleh dalam usaha menyatukan parti itu dengan Pas.
Katanya, dari ibrah sirah dan sejarah, kita belajar satu perkara – bangsa yang berpecah sentiasa mudah ditundukkan, walau besar jumlahnya, walau kaya tanahnya, ‘’katanya.
Oleht itu beliau berkata, atas rasional inilah, beliau menggagaskan idea “Tekad Ummah” yang dimulakan dengan penyatuan dua parti terbesar orang Melayu, iaitu UMNO dan Pas, tanpa menutup pintu kepada penyertaan pihak-pihak lain.
‘’Tujuan saya menggagaskan “Tekad Ummah” ini bukan untuk meraih saham politik. Tapi merupakan suatu kesedaran bahawa sudah tiba masanya Melayu benar-benar serius bergerak ke arah sebuah penyatuan.
‘’Saya tahu, menjayakan “Tekad Ummah” ini bukan kerja mudah. Ada harga yang besar untuk dibayar, ada pengorbanan yang dituntut. Dan akan ada tekanan daripada pelbagai arah.
‘’Tetapi sejarah mengajar kita satu perkara – tiada penyatuan besar lahir daripada zon selesa. Jika kita benar-benar serius mahu menyatukan Melayu, maka kita mesti bersedia memikul risikonya, bukan sekadar bercakap mengenainya,’’ katanya.
Akmal berkata, beliau memahami apabila Pas dijemput bersama dalam penyatuan ini, ada akar umbi yang masih resah, mengingati luka-luka lama.
‘’Itu perasaan yang jujur, dan saya menghormatinya. Namun perjuangan menuntut jiwa yang lebih besar, bukan untuk mengungkit luka lama, tetapi untuk mengelakkan luka baharu yang lebih merugikan ummah.
‘’Jika dengan musuh yang nyata sejak sebelum Merdeka pun kita mampu berlapang dada, masakan dengan yang sesama bangsa dan agama kita memilih untuk terus berpecah.
‘’Sebab itu Pemuda UMNO tidak mahu Tekad Ummah ini kekal sebagai wacana atau slogan. Pemuda UMNO mahu ia diterjemahkan kepada tindakan. Kita akan membuka ruang seluas-luasnya, menjemput semua pihak tanpa mengira parti politik, latar belakang, atau sejarah silam untuk duduk semeja, bercakap secara jujur, dan mencari titik persamaan demi masa depan umat dan bangsa,’’ katanya.
Beliau berkata sebagai langkah nyata ke arah itu, Pemuda UMNO akan menjadi penggerak utama menganjurkan Himpunan Tekad Ummah.
‘’Satu himpunan besar yang menghimpunkan parti-parti politik Melayu, NGO, ahli akademik, pemikir, dan seluruh kelompok masyarakat yang berkongsi satu objektif iaitu merealisasikan penyatuan Ummah sebagai agenda nasional.
‘’Ini bukan himpunan kebencian. Ini himpunan kesedaran. Dan Pemuda UMNO bersedia memimpin langkah ini, dari hadapan,’’ tegasnya.


