MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan pertemuan dengan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung keputusan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi berhubung kes kehilangan aktivis, Amri Che Amat dan dan Pastor Raymond Koh.
Saifuddin berkata, beliau akan bertemu pegawai yang mengendalikan kes berkenaan daripada awal, esok.
Katanya, pertemuan itu penting untuknya mendapatkan taklimat lengkap berhubung perkara berkenaan sebelum memberi sebarang kenyataan mengenai perkara itu.
“Tujuannya supaya saya mendapat taklimat lengkap dan gambaran menyeluruh (berhubung perkara itu) kerana sekarang dengan keputusan mahkamah dan arahan khusus mahkamah termasuk mengarahkan pasukan polis bagi memulakan siasatan.
“Tentang hala tuju siasatan mengklasifikasikan sebagai apa kes sebagainya itu selepas kita mendapat taklimat penuh,” katanya pada sidang media pada Program Jelajah Wira Madani 2025 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini, lapor Harian Metro.
Menurutnya, perkembangan mengenai perkara itu juga akan dimaklumkan selepas beliau melakukan pertemuan berkenaan.
“Saya tentunya tak boleh gopoh dalam memberikan sebarang kenyataan selain lebih baik untuk saya terlebih dahulu mendapat taklimat lengkap,” katanya.
Media hari ini melaporkan, AGC memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi berhubung kes kehilangan aktivis, Amri Che Amat dan dan pastor Raymond Koh. AGC dalam dua kenyataan berasingan berkata, rayuan akan difailkan susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Su Tiang Joo, yang memutuskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan bertanggungjawab terhadap kehilangan mereka.
Mahkamah semalam memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin.
Mahkamah turut mengarahkan PDRM membuka semula siasatan kehilangan Amri bermula semalam dan melaporkan perkembangan kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
Mahkamah sama turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Raymond, Susanna Liew.
Ia susulan perintah supaya kerajaan dan PDRM membayar ganti rugi RM10,000 sehari kepada keluarga Raymond bermula dari tarikh beliau diculik pada 13 Februari 2017 sehingga pihak berkuasa mendedahkan keberadaannya.
Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016 manakala, Raymond hilang pada 13 Februari 2017.






