Najib terkejut diberitahu RM42 juta masuk dalam akaun peribadinya – saksi

DATUK Seri Najib Tun Razak didakwa terkejut apabila dimaklumkan RM42 juta telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya antara 2014 dan 2015, kata bekas Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Shamsul Anwar Sulaiman kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Shamsul Anwar yang menjadi saksi kedua dalam saman yang difailkan SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd, menceritakan bagaimana beliau ditahan dan disoal siasat selama empat hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung aliran dana melalui akaun IPSB.

Kedua-dua syarikat itu menyaman bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan semula RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada akaun SRC.

Menjawab soalan peguam SRC, Kwan Will Sen, Shamsul Anwr berkata beliau telah menemui Najib di kediaman rasmi perdana menteri ketika itu selepas dibebaskan oleh SPRM untuk memaklumkan tentang soal siasat tersebut, lapor FMT.

Beliau berkata, pegawai SPRM bertanyakan siapa yang mengarahkan pemindahan RM42 juta itu, namun beliau menjelaskan bahawa beliau tidak tahu dari mana dana itu datang dan siapa penerimanya.

Pemindahan dana itu dibuat dalam tiga transaksi: RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta.

Shamsul Anwar berkata beliau hanya mengikut arahan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Lin, untuk memindahkan dana yang masuk ke akaun IPSB ke akaun yang telah ditentukan.

YR1M sebelum itu menyalurkan geran kepada IPSB bagi program komuniti di bawah inisiatif 1Malaysia.

Beliau berkata pegawai SPRM turut menunjukkan jejak aliran wang tersebut dan memaklumkan bahawa akaun yang berakhir dengan nombor “880” dan “906” adalah milik Najib.

Shamsul berkata beliau kemudian memberitahu Najib: “Saya tak tahu duit itu milik Datuk.”

Ditanya sama ada Najib memberikan apa-apa arahan selepas dimaklumkan perkara itu, Shamsul Anwar menjawab: “Tidak. Najib hanya terkejut. Perbualan berakhir begitu sahaja.”

Ketika disoal balas peguam Najib, Tan Sri Shafee Abdullah, Shamsul  Anwar menegaskan semula arahan untuk memindahkan dana datang daripada Ung.

Shamsul Anwar berkata Ung hanya memberitahu bahawa dana akan dimasukkan ke dalam akaun IPSB dan perlu dipindahkan ke tempat lain, tetapi tidak menjelaskan tujuan sebenar walaupun ditanya.

Shafee: Tak pelik ke bagi awak?

Shamsul Anwar: Saya tanya tujuan pemindahan, dia kata ia untuk program CSR (tanggungjawab sosial korporat).

Shafee: Awak ada tanya kenapa guna akaun syarikat awak?

Shamsul Anwar : Saya tanya, termasuk siapa penerima. Tetapi dia mengelak dan hanya jawab: “Ini akaun peribadi, awak tak perlu tahu.”

Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung pada 25 Nov ini.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img