AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli berkata, beliau tidak kecewa kerana meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis hari ini sebaliknya menganggap apa yang berlaku adalah kesilapan kerana ‘’terlalu baik dan terlalu menghargai persahabatan’’.
Pada sidang media khas hari ini yang disiarkan secara langsung di media sosial, Mohd Shukri berkata, berikutan sikap itu beliau langsung tidak menyangka bahawa persahabatan tersebut menyebabkan diperlakukan sedemikian (perancangan tarik sokongan).
‘’Saya tidak dapat kesan maklumat…itu kebijaksanaan mereka merancang… tetapi apapun peletakan jawatan itu adalah atas faktor kesihatan dan secara sukarela tidak ada kaitan dengan lain,’’ katanya yang dilantik menjadi Menteri Besar Perlis pada 22 November 2022.
Peletakan jawatan ahli politik berusia 64 tahun itu dilakukan tidak sampai 24 jam selepas tiga ADUN Pas terhenti keahlian dalam parti tersebut serta-merta kerana dikatakan terlibat dalam usaha bersama lima lagi ADUN Bersatu untuk menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.
Berikutan itu ketiga-tiga ADUN tersebut ADUN Chuping, Saad Seman; Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) hilang kelayakan sebagai ADUN.
Hari ini Speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan berkata beliau akan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil di tiga DUN berkenaan.
Katanya, walaupun tempoh penggal DUN Perlis sudah memasuki tempoh matang iaitu tiga tahun yang membolehkan pilihan raya tidak perlu diadakan biarpun berlaku kekosongan luar jangka, namun beliau berpendapat berdasarkan perkembangan semasa, PRK perlu dilaksanakan.
Sementara itu Mohd Shukri berkata, tindakan ke atas ketiga-tiga ADUN itu menunjukkan ketegasan pimpinan Pas.
Menjawab satu soalan berikutan tindakan mereka mahu menarik sokongan terhadap beliau, Mohd Shukri berkata, ‘’ kalau kami (yang menjadi) YB dalam Pas ia disebut pengkhianatan.’’
‘’Ini kerana kita dalam Pas ada baiah…sesuatu cukup berat. Apabila kita berbaiah kita tak boleh terima sebarang imbuhan. Kalau di Kelantan baiah lagi berat boleh tertalak isteri.
‘’Tetapi kita di Perlis tak sampai tertalak isteri, tetapi segala yang kita terima, imbuhan dia terima..itu haram untuk dia makan. Baiah ni sama-sama setuju…masa nak jadi calon dulu…(jadi) kena faham yang itu,’’ katanya.


