DATUK Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kementerian mengadakan sesi libat urus dengan industri di bawah kementerian masing-masing bagi mendapatkan maklum balas, pandangan serta kesan yang mungkin berlaku susulan pergolakan di Asia Barat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu disuarakan Perdana Menteri pada mesyuarat khas Jemaah Menteri yang dipengerusikannya hari ini.
“Hasil daripada sesi libat urus itu akan dibawa, pertama kepada mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu hadapan iaitu pada hari Selasa.
“Wakil industri juga akan dijemput untuk melakukan pembentangan bagi pihak industri masing-masing pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan datang,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, sebarang maklumat lanjut akan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan.
Konflik di Asia Barat bermula pada 28 Februari lalu apabila Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap Iran, yang kemudiannya dibalas Tehran melalui serangan peluru berpandu dan dron terhadap kepentingan AS serta sekutunya di rantau itu.
Konflik terbabit turut menjejaskan pasaran tenaga global apabila laluan strategik Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia, terjejas susulan ancaman dan tindakan Iran yang menghalang laluan kapal di perairan berkenaan.


