Sepak takraw dipertandingkan di Sukan Kurang Upaya Pantai Dunia di Turkiye, Oktober ini

SEPAK takraw membuka  lembaran baharu apabila bakal menyertai Sukan Kurang Upaya Pantai Dunia di Mersin, Turkiye pada 18 hingga 25 Oktober ini sebagai sukan pertandingan.

Sepak takraw kurang upaya atau dinamakan sepak takraw berubah suai (adaptif) melibatkan tiga kategori iaitu TKR1 (kaki kudung sebelah di atas lutut dan memakai sebelah kaki prostetik/palsu atau menggunakan peralatan untuk membantu imbangan).

TKR2 pula ialah kaki kudung sebelah di bawah lutut, memakai satu kaki prostetik atau menggunakan peralatan untuk membantu imbangan, otot kaki yang lemah/kecil – atrofi dan polio dan panjang kaki tidak seimbang (lebih lima sentimeter).

Manakala kategori TKR3 bererti kecatatan lengan sejak lahir anomali, kudung satu lengan di bawah siku, kekejangan otot dan pergelangan tangan dan otot lengan lemah dan lengan atrofi bergabung dengan polio.

Tiga acara yang akan dipertandingkan di Sukan Kurang Upaya Pantai Dunia 2025 terdiri daripada:

i-               Lengan – ketiga-tiga pemain cacat sebelah lengan;

ii-             Campuran 1 – seorang pemain yang mempunyai sebelah kaki cacat dan dua pemain yang mempunyai sebelah lengan cacat;

iii-            Kuadran (berempat) campuran – dua pemain yang mempunyai sebelah kaki cacat dan dua pemain yang mempunyai sebelah lengan cacat.

Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader berkata, sepak takraw telah mendapat undangan menyertai Sukan Kurang Upaya Pantai Dunia 2025 menerusi kiriman e-mel oleh Ketua Operasinya, Elin Luce.

“Berita gembira buat sukan warisan orang  Melayu ini diterima pada 14 Julai lalu, beberapa hari sebelum Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand Ke-38 di Hatyai.

“Selain Thailand, ISTAF menyarankan Malaysia, Indonesia, Laos, Korea Selatan, Filipina dan Taiwan sebagai antara tujuh atau lapan negara peserta,” katanya yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Berikutan itu ISTAF katanya, akan membentuk sebuah jawatankuasa kecil khas untuk menggalakkan negara-negara yang menjadi ahli gabungannya membantu menubuhkan pasukan sepak takraw kurang upaya masing-masing.

Beliau berkata, setakat ini penganjur temasya itu mengesahkan penyertaan Thailand, Indonesia dan Laos.

‘’Bagaimanapun mereka berusaha mendapatkan penyertaan Korea Selatan, Filipina dan Taiwan sekaligus memerlukan rangkaian kerjasama ISTAF dan ASTAF dalam menjayakannya termasuk Malaysia,’’ katanya.

Halim turut yakin dapat menjalin kerjasama dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang diterajui Datuk Seri Megat Danish Shahriman Zaharudin berhubung penyertaan pasukan sepak takraw kurang Upaya.

Difahamkan terdapat sekumpulan pemain kurang upaya dan cacat anggota turut giat bermain sepak takraw di Malaysia sama ada dengan pemain normal dalam pertandingan terbuka mahupun secara sosial, suka-suka atau hobi.

“Saya dimaklumkan seorang Ahli Lembaga Sukan Kurang Upaya Dunia, Maitree Kongruang dari Thailand terbabit aktif dengan sepak takraw berubah suai ini di negaranya selaku Presiden Persatuan Sukan Thailand Bagi Orang Kurang Upaya (SPADT),” katanya.

Menurut Sukan Kurang Upaya Dunia , Thailand juga dilaporkan bersedia menghantar dua pasukan bagi ketiga-tiga acara sepak takraw berubah suai itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img