SEORANG lelaki yang dipercayai mengelar leher isterinya sehingga mati tampil menyerah diri selepas empat hari tinggal bersama mayat di sebuah rumah flat di Jalan Tuna, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Lelaki berusia 28 tahun itu dikatakan menyimpan mayat isterinya di dalam sebuah bilik di rumah mereka.

Selepas tampil menyerah diri, sepasukan polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan menemukan mayat mangsa yang berusia 44 tahun dengan kesan kecederaan dileher, dipercayai dikelar dengan senjata tajam.
Suspek yang tidak bekerja itu turut memiliki rekod jenayah lampau dan dia dibawa bersama ke lokasi pembunuhan itu untuk membantu siasatan polis.
Berdasarkan siasatan polis juga, mangsa merupakan ibu tunggal dan mempunyai lima orang anak telah berkahwin dengan suspek kira-kira tiga tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


