SEORANG pekerja kimpalan maut ditimpa bakul besi jengkaut di tapak pembinaan projek pemecah ombak di Kampung Tanjung, Batu Rakit, pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada pukul 9.48 pagi berhubung seorang lelaki yang tidak sedarkan diri.
Katanya, mangsa, Mohd Rosli Awang, 54, yang bekerja sebagai jurukimpal di tapak projek berkenaan, dikatakan sedang menjalankan kerja mematri besi penyesuai bakul besi untuk kegunaan mesin pengorek bersama seorang penolongnya.
“Bagaimanapun, ketika proses itu berlangsung, bakul besi terbabit secara tiba-tiba terbalik sebelum menghempap mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, penolong mangsa bertindak segera mengalihkan bakul besi menggunakan jengkaut, namun Mohd Rosli sudah tidak sedarkan diri.
“Pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Batu Rakit yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin untuk proses bedah siasat.


