Sudah bekerja namun ingin pendapatan lebih, pekerja swasta rugi lebih RM255,000

MESKIPUN sudah bekerja di syarikat swasta, seorang wanita sanggup mengeluarkan modal ratusan ribu ringgit semata-mata ingin memperoleh pendapatan tambahan dengan bekerja sambilan secara dalam talian.

Namun hasrat mangsa yang berusia 46 tahun itu tidak kesampaian apabila dia sebenarnya diperdayakan syarikat pekerjaan sambilan yang tidak wujud dan akhirnya mengalami kerugian sebanyak RM255,948.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa ditipu sindiket tersebut pada jam 7.48 malam tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa ketika berada di rumahnya pada 2.44 petang, 29 Ogos lalu telah menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp dan pautan laman sesawang tawaran pekerjaan dalam talian daripada suspek.

“Mangsa telah ditawarkan faedah dan keuntungan hasil daripada belian atau jualan produk yang terdapat dalam laman sesawang berkenaan.

“Mangsa yang berminat dengan tawaran tersebut tanpa berfikir panjang mengikut pelbagai arahan diberikan oleh suspek. Dia telah membuat 20 kali pindahan wang kepada 10 akaun bank berbeza bermula daripada 1 September hingga 5 Disember lepas melibatkan jumlah keseluruhan RM255,948,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Nasir berkata, apabila mangsa ingin membuat pengeluaran keuntungan dan deposit yang telah dijanjikan, dia diberi pelbagai alasan tidak munasabah dan talian telefonnya telah disekat.

Beliau berkata, mangsa mula mengesyaki dia telah ditipu dan tampil membuat laporan polis, dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam satu lagi kenyataan, Mohamad Nasir memaklumkan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping sedang mengesan seorang saksi, C. Harvienraj, 18, yang beralamat di Nombor 290, Lorong 20 Aulong, Taiping bagi membantu perbicaraan kes mengikut Seksyen 427/323 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan saksi terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Khairul Anwar Zawawi di talian 019-900 9849 atau bilik gerakan IPD Taiping atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img