Serbuan tidak sah: Kerajaan diperintah bayar ganti rugi RM274,375 kepada Siti Kasim dan anak guam

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi berjumlah RM274,375 kepada peguam Siti Kasim dan anak guamnya selepas membenarkan tuntutan saman mereka berhubung serbuan tidak sah di kediaman dan pemenjaraan salah pada 2018.

PESURUHJAYA  Kehakiman, Arziah Mohammed Apandi, memutuskan serbuan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 21 Jun 2018 di kediaman aktivis itu  yang dilakukan tanpa sebarang niat untuk menghubungi penghuni rumah terlebih dahulu adalah satu pencerobohan.

Siti atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim, 62, dan Anis Nur Izzatty Ruslan, 31, memfailkan saman berkenaan pada 29 Januari 2021, dengan menamakan 30 defendan, termasuk 22 pegawai polis yang terbabit dalam kejadian terbabit.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat, bekas Pengarah Hospital Kajang Dr Md Fikri Abu Bakar, Hospital Kajang, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri, Menteri Kesihatan dan kerajaan, lapor Sinar Harian.

Arziah memerintahkan kerajaan membayar RM120,625 sebagai ganti rugi am kepada Siti dan RM53,750 kepada Anis.

Selain itu defendan juga diperintahkan membayar ganti rugi teladan bersama berjumlah RM100,000, dan kos sebanyak RM50,000.

Dalam penghakimannyya, Arziah berkata , fakta kes adalah tidak dipertikaikan bahawa salah seorang pegawai polis yang terbabit dalam serbuan itu mengakui tidak membaca laporan polis berkaitan kes terbabit sebelum serbuan dijalankan.

Beliau berkata, sebarang kemasukan ke premis persendirian tanpa kebenaran atau kuasa undang-undang adalah satu pencerobohan.

Katanya, dalam satu kejadian lain dua hari kemudian, Siti ditahan ketika menjalankan tugas profesionalnya walaupun polis tidak mempunyai asas untuk menahannya.

“Tindakan defendan menunjukkan sikap cuai yang melampau dan tidak mengendahkan hak perlembagaan plaintif,” katanya.

Pada prosiding hari ini, kerajaan dan defendan lain diwakili Peguam Persekutuan Anis Najwa Nazari manakala peguam Surendra Ananth bertindak bagi pihak Siti dan Anis.

Dalam pernyataan tuntutan, mereka menyatakan Anis yang mendapatkan bantuan dan perlindungan di rumah Siti kerana masalah keluarga tinggal di rumah itu pada 21 Jun 2018 ketika Siti menghadiri satu persidangan.

Plaintif berkata, sembilan anggota polis berpakaian preman (semuanya dinamakan dalam saman) memasuki rumah Siti dengan memecahkan gril dan pintu utama.

Plaintif mendakwa pihak polis membawa Anis secara tidak sah yang ketika itu bersembunyi di dalam bilik air ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Pada 23 Jun 2018, Siti pergi ke Ibu Pejabat Pols Daerah (IPD) Kajang selepas mengetahui Anis ditahan secara tidak sah di situ.

Siti mendakwa tidak dibenarkan berjumpa dengan anak guamnya dan kira-kira jam 11 malam, beliau sendiri ditahan polis atas alasan menculik Anis dan menghalang polis daripada menjalankan tugas.

Permohonan reman oleh polis kemudiannya ditolak oleh majistret.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img