Sistem server atau pelayan bagi pelaksanaan inisiatif subsidi petrol di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mampu memproses 30,000 transaksi seminit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peningkatan keupayaan sistem itu bertujuan memastikan tiada gangguan teknikal berlaku seperti yang pernah dialami sebelum ini di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Jadi nak elak masalah yang dihadapi tatkala kita perkenalkan di awal pelaksanaan SARA. Jadi BUDI95, kapasiti server itu jauh lebih besar.
“SARA itu sebenarnya direncana untuk kumpulan lebih kecil, kita belajar daripada pengalaman itu. Jadi SARA mampu memproses 3,000 transaksi seminit, tapi BUDI95 server itu mampu memproses 10 kali ganda, maknanya lebih 30,000 transaksi seminit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MOF) di Putrajaya hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican, lapor Bernama.
Beliau berkata penyasaran subsidi RON95 mencerminkan pendekatan Kerajaan MADANI dalam menangani ketirisan dan penyeludupan RON95, selain pada masa sama memastikan kebajikan rakyat kekal dipelihara.
Anwar pada 22 Sept lepas mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa 30 Sept ini melalui penyasaran subsidi di bawah BUDI95.
Semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95 dan berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta orang layak menerima subsidi itu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri membidas dakwaan sesetengah pihak kononnya pelaksanaan BUDI95 menyusahkan rakyat kerana perlu menggunakan kad pengenalan untuk membeli petrol.
Beliau berkata penggunaan kad pengenalan tidak sepatutnya dijadikan isu oleh pihak tertentu kerana pelaksanaan BUDI95 adalah demi faedah majoriti rakyat Malaysia untuk menikmati harga petrol antara yang terendah di rantau ini.
“Mana ada sistem yang sempurna. Apa pun dalam sistem (BUDI95), ia beri faedah kepada majoriti besar (rakyat),” kata Anwar.


