JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mempergiat Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri dengan pendekatan lebih strategik, menyeluruh dan berimpak tinggi bagi membudayakan pemanduan berhemah dalam kalangan rakyat.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kempen itu mengangkat naratif baharu JPJ dengan menekankan penyampaian mesej keselamatan secara lebih agresif, kreatif dan menyeluruh melalui pelbagai platform termasuk media arus perdana dan digital.
“Seiring peningkatan penguatkuasaan melalui pelaksanaan larangan pemanduan kenderaan barangan (road ban), operasi berfokus di lokasi hotspot, serta penggunaan dron berteknologi tinggi, JPJ turut mengangkat advokasi sebagai teras utama.
“Pendekatan itu menegaskan keselamatan jalan raya tidak boleh bergantung kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh melalui pembentukan kesedaran, peningkatan kefahaman dan perubahan sikap pengguna secara berterusan terutama di musim perayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keselamatan jalan raya bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi tanggungjawab bersama.
“Setiap pengguna jalan raya mempunyai peranan penting dalam memastikan setiap perjalanan selamat dan setiap destinasi tiba dengan sejahtera,” katanya.
Aedy Fadly berkata, buat julung kalinya, pihaknya turut menerbitkan iklan khas Aidilfitri JPJ yang sarat mesej keselamatan, disampaikan secara santai dan dekat dengan jiwa masyarakat bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian.
Katanya, bagi memperluas impak dan capaian kempen, JPJ turut menjalin kolaborasi strategik bersama personaliti terkenal tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Zizan Razak, Izzue Islam serta pempengaruh Boss James melalui penghasilan kandungan video yang menekankan aspek keselamatan jalan raya yang lebih santai, berkesan, namun sampai kepada setiap lapisan masyarakat.


