Suami Nadia Kesuma jelaskan mesej ‘I met stranger’ sebelum hilang disalah tafsir

SUAMI kepada pelakon filem Syaitan Munafik, Nadia Kesuma yang gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah sejak semalam, hari ini menafikan dakwaan tular dalam media sosial mengaitkan kehilangan isterinya itu kerana menemui individu tidak dikenali atau i met stranger, pesanan yang diterima daripada isterinya sebelum ini.

Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 56, menjelaskan, dakwaan tersebut iaitu isterinya bertemu dengan orang yang tidak dikenali telah disalah tafsir.

“Saya ingin betulkan dakwaan yang tular mengatakan I met stranger sebelum kehilangan isteri saya. Itu tidak benar dan telah disalah tafsir,” katanya ketika dihubungi utusanmelayuplus hari ini.

Beliau menjelaskan, ungkapan mesej berkenaan sebenarnya merujuk kepada situasi isterinya yang menunaikan umrah bersama jemaah yang tidak dikenali, berbeza dengan pengalaman umrahnya sebelum ini.

“That is not the story. The right story adalah dia semua macam terkilan lah sebab tahun lepas dia pergi dengan kawan-kawan. Seronok beribadat dengan kawan-kawan pada ketika itu.

“Namun, pada tahun ini dia pergi dengan jemaah yang dia tidak kenal. Itu sahaja maksudnya, bukan bertemu mana-mana individu asing sebelum hilang,” katanya.

Nadia merupakan salah seorang daripada 22 jemaah yang berlepas dari Kuala Lumpur bagi menyertai pakej umrah ziarah dan dijadualkan melakukan transit sementara di Jeddah sebelum meneruskan penerbangan ke Heathrow, London.

Dr Muhammad Kamarul berkata, isterinya tiba di Jeddah sekitar jam 6 pagi dan dijadualkan menaiki penerbangan transit ke London dua jam berikutnya bagi transit yang membolehkan penumpang melakukan aktiviti bebas seperti makan dan menunaikan solat sebelum berkumpul semula di pintu pelepasan.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dilakukan oleh pihak agensi pelancongan, Nadia didapati tidak berada di pintu pelepasan dan gagal dikesan walaupun pengumuman dibuat beberapa kali di lapangan terbang.

“‘Travel agent periksa dia tak ada… mencari dan buat pengumuman di lapangan terbang itu beberapa kali, memang dia tak ada,” katanya.

Tambah beliau, isterinya seorang yang peramah, mudah bergaul dan tidak menunjukkan sebarang tingkah laku mencurigakan sebelum berlepas ke Tanah Suci.

“Nadia memang mudah berkawan. Dia bergaul baik dengan jemaah, mutawif, ustaz dan pihak agensi. Tiada apa-apa yang pelik atau mencurigakan,” jelasnya.

Dr Muhammad Kamarul turut mengesahkan beliau sendiri menghantar isterinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan berada bersama Nadia sehingga ke ruang daftar masuk.

“Saya hantar sendiri isteri ke KLIA, berjumpa dengan mutawif, ustaz dan pegawai agensi. Saya juga sempat berbual dengan mereka.

“Tiada mesej pelik, tiada tanda-tanda mencurigakan. Sebab itu apabila agensi hubungi saya, saya sangka isteri saya cuma terlepas penerbangan atau tertidur,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dan pihak media dapat menghentikan spekulasi tidak berasas yang boleh mengelirukan siasatan serta menjejaskan emosi ahli keluarga.

“Saya harap perkara ini diperbetulkan dan spekulasi dihentikan. Saya hanya mahu isteri saya ditemui dengan selamat dan beri ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya.

Keluarga pelakon Nadia bersama Konsulat Malaysia di Jeddah telah membuat laporan polis hari ini, berhubung kehilangan pelakon terbabit bagi membolehkan pihak berkuasa Malaysia dan Arab Saudi menjalankan siasatan berhubung kehilangannya

Sementara itu, agensi umrah, Nuh Travel & Tours Sdn Bhd (Nuh Travel) yang menguruskan perjalanan umrah pelakon itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Nadia atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, menyertai Pakej Umrah Ziarah London dan Paris bersama 21 jemaah.

“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah bagi tujuan transit sementara sebelum meneruskan penerbangan ke London, semua jemaah termasuk Nadia diberikan taklimat oleh ketua rombongan Nuh Travel.

“Jemaah dimaklumkan untuk berkumpul semula di lokasi yang ditetapkan selepas selesai urusan peribadi seperti ke tandas dan berehat. Namun demikian, ketika semua jemaah berkumpul dan beratur untuk penerbangan seterusnya ke London, Nadia tidak berada bersama kumpulan,” kata kenyataan itu.

Berikutan itu, Nuh Travel menjelaskan, ketua rombongan segera memaklumkan perkara ini kepada pihak pengurusan Lapangan Terbang Jeddah dan pihak lapangan terbang seterusnya membuat tiga kali pengumuman awam dengan menyebut nama beliau supaya segera ke balai berlepas.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img