YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Istana Johor di Padang Kawat, Istana Besar Johor, hari ini.
Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, dengan diringi Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dan Raja Muda Johor Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, serta paduka anakanda.

Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim,.
Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan suami, Dato’ Dennis Muhammad Abdullah turut berangkat sama.
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Istana Johor menerima kehadiran kira-kira 25,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan beramah mesra bersama Keluarga Diraja Johor dalam suasana penuh mesra serta harmoni.


