Surat terbuka Hadi dedahkan sikap segelintir pemimpin Pas Perlis

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini mendedahkan beberapa sikap dalam kalangan pemimpin Pas di Perlis sehingga tercetusnya pengkhiatan kepada parti itu di negeri berkenaan.

Dalam surat terbuka kepada ahli Pas negeri itu, Abdul Hadi berkata, Pas pusat telah melakukan tabayyun terhadap aduan daripada Perlis selepas kemenangan dalam pilihan raya berkaitan salah laku akhlak dan pentadbiran.

‘’Beberapa orang daripada Pas Pusat dihantar ke Perlis bagi melakukan tabayyun dan para pemimpin Pas Kawasan dijemput datang untuk mendengar pengaduan secara berdepan serta siasatan yang lain. Adapun tuduhan akhlak, tidak ada saksi yang adil dikemukakan, hanya cerita yang dicipta dan akhirnya diketahui puncanya’’ tegas beliau melalui Facebook hari ini.

Abdul Hadi berkata, pertemuan dengan pemimpin Pas Kawasan di Pejabat Agung parti itu mendedahkan sifatnya yang tidak memenuhi sifat-sifat ahli parti Islam yang bertarbiah apabila secara tidak segan melahirkan tidak berpuas hati terhadap beberapa keputusan parti dan kepimpinan negeri.

‘’Sebilangan mereka menonjolkan diri masing-masing paling layak memegang jawatan tetapi tidak dilantik. Sifat yang disebut oleh Rasulullah SAW tidak layak diberi jawatan, berlakunya lobi-melobi yang tidak berakhlak dalam mesyuarat agung sebagai tindakan merosakkan dalaman Pas dan menjatuhkan Kerajaan Negeri.

‘’Tidak memahami kelemahan peringkat Kerajaan baharu yang dapat diselesaikan mengikut proses pentadbiran yang dapat dibetulkan serta ada masalah bidang kuasa Kerajaan Negeri yang terbatas, tidak menghormati hak Pesuruhjaya dalam bertindak menyelesaikan masalah dan menentukan keputusan secara syura,’’ katanya.

Selain itu katanya, ada yang tidak beristiqamah menghadapi tekanan pihak luar dan tidak mempertahankan perjuangan parti, sehingga melaksanakan langkah daripada luar jemaah yang bercanggah dengan perjuangan parti yang menentang salah laku dan penyelewengan yang mahu merosakkan Kerajaan Negeri.

Abdul Hadi berkata, akibat sikap dan tindakan itu ia  berakhir dengan menyokong tindakan khianat menjatuhkan Kerajaan Pas  sehingga diberi kepada pihak yang lain, kawan yang tidak bersetia kawan.

‘’Kesimpulannya bahawa kepercayaan kami kepada Pesuruhjaya Pas yang dilantik sangat tinggi. Apa yang berlaku ialah tidak wala’ kepada parti dan tidak taat kepada pemimpin yang dilantik oleh pimpinan PAS Pusat tanpa alasan yang sebenar.

‘’Sila lakukan muhasabah diri sendiri dengan adil, betapa pentingnya untuk menjaga perpaduan dalam jemaah, memastikan pergerakan jemaah tidak terhenti dan musuh gagal mengambil kesempatan. Perjuangan harus tetap bergerak, kerana dalam jemaah adanya ramai ahli yang terus melaksanakan kewajipan tanpa memikirkan jawatan dan habuan, hanya ikhlas kerana Allah,’’ katanya.

Dalam surat terbuka itu juga beliau menegaskan, Majlis Syura ‘Ulamak parti itu tiada kaitan dengan pentadbiran selagi tidak bercanggah dengan dasar tertinggi.

Katanya, Pas Pusat diwajibkan mentadbir dan melantik jawatan-jawatan di semua peringkat dan di bawah pentadbirannya dan mengawasi Kerajaan Negeri, termasuk jawatan Pesuruhjaya Pas Negeri, Menteri Besar dan lain-lain yang wajib ditaati arahannya

‘’Pas Pusat yang dipilih dan dilantik oleh Muktamar Tahunan Pas Pusat berkuasa bagi melaksanakan pentadbiran yang tertinggi dalam Pas yang tidak berlawanan dengan dasar dan hukum tertinggi, mengikut Fasal 39(1) dan Fasal 39(9) Perlembagaan Pas,’’ katanya.

Beliau berkata,  dapun pelaksanaan dasar hukum tertinggi Pas iaitu al-Quran dan as-Sunnah serta Ijmak ‘Ulamak dan Qias, dipertanggungjawabkan kepada Majlis Syura ‘Ulamak mengikut Fasal 8(1) Perlembagaan Pas yang dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dewan ‘Ulamak Pas Pusat, Dewan Pemuda Pas Pusat, Dewan Muslimat Pas Pusat dan dilantik anggota tambahan oleh Majlis Syura ‘Ulamak itu sendiri.

‘’Pas Pusat telah memilih Pesuruhjaya Pas Negeri Perlis daripada kalangan ahli Majlis Syura ‘Ulamak, jawatan yang paling bersih dalam Pas, ‘’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img