SEKURANG-kurangnya 22 orang terkorban susulan bencana akibat hujan lebat luar biasa di Colombia yang menyebabkan ribuan keluarga terpaksa dipindahkan.
Pihak berkuasa mengesahkan, 14 kematian direkodkan di wilayah Cordoba dan Sucre, dengan sekurang-kurangnya 9,000 kediaman terjejas.
Penduduk dilaporkan bergelut menyelamatkan barangan peribadi ketika air naik setinggi paras pinggang dan lumpur tebal, menggunakan bot bermotor serta perahu sementara.
“Kami kehilangan segalanya, semua harta benda dan peralatan rumah. Kami sangat risau kerana tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini,” kata Enid Gomez, penduduk Monteria, kepada AFP.
Agensi cuaca kebangsaan Colombia, Ideam memaklumkan, bahawa udara sejuk dari utara benua Amerika menuju pesisir Caribbean di negara itu menyebabkan taburan hujan bulan lalu meningkat 64 peratus, tertinggi pernah direkodkan.
Ahad lalu, pihak berkuasa melaporkan angka kematian adalah 13 orang, namun kini meningkat susulan kejadian terbaharu.
Di wilayah Narino di barat daya Colombia, tujuh individu terkorban dalam kejadian tanah runtuh pada Jumaat apabila air sungai yang melimpah bersama lumpur akibat hujan lebat menenggelamkan dan menimbus beberapa rumah.
Rakaman yang disiarkan pihak berkuasa menunjukkan jentera berat digunakan untuk mengorek timbunan lumpur, sementara pasukan penyelamat dan anjing pengesan mencari mangsa yang tertimbus.
Hujan lebat yang melanda ketika ini dianggap jarang berlaku di Colombia.
Pakar menyatakan perubahan iklim semakin mengganggu corak musim kering dan hujan di negara beriklim tropika itu.


