PERIKATAN Nasional (PN) mendedahkan bahawa MIC pernah mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai gabungan bersama Pas, Bersatu, Gerakan dan MIPP itu pada November tahun lalu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, permohonan tersebut dibuat melalui Presidennya, Tan Sri Dato’ Sri SA Vigneswaran, menerusi surat bertarikh 15 November yang dihantar kepada Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN ketika itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, permohonan berkenaan telah diteliti sebelum diluluskan dalam mesyuarat PN pada Disember lalu dan disahkan secara rasmi pada 14 Mac.
“MIC antara pengasas PN, namun kerana kekal bersama Barisan Nasional (BN), mereka memohon untuk diterima masuk semula. Hari ini saya jelaskan bahawa kita mempunyai bukti surat permohonan tersebut.
“Jika ada pihak mengatakan MIC tidak pernah memohon, sila buktikan kerana kita ada rekod lengkap,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini, lapor Harakahdaily.
Beliau berkata, susulan kelulusan itu, PN telah mengeluarkan surat tawaran rasmi kepada MIC bagi mendapatkan pengesahan sama ada menerima penyertaan dalam gabungan tersebut.
Namun katanya, hasil mesyuarat MIC pada 25 Mac memutuskan untuk tidak menerima tawaran berkenaan dan kekal bersama BN buat masa ini.
“Tidak mahu terima tiada masalah. MIC hanya mempunyai satu kerusi Parlimen, bukan 10 kerusi, jadi ia tidak memberi kesan kepada PN. PN dengan empat parti komponen sudah mencukupi dan kita boleh bergerak ke hadapan,” ujarnya lagi.
Setiausaha Agung Pas itu berkata , PN bukan sebuah gabungan yang boleh diperlakukan sesuka hati seperti parti untuk dijual dan bukan hotel di mana sesiapa yang ingin menyertai perlu membuat permohonan dan mematuhi proses.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan PN kini sedang memproses beberapa lagi permohonan daripada parti politik lain yang berminat untuk menyertai gabungan tersebut.


