Tanah runtuh : Tujuh disahkan maut di Kampung Cenderakasih, operasi tujuh jam tamat

TRAGEDI  tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong, di Kota Kinabalu berakhir dengan tujuh mangsa disahkan maut, termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20-an dan seorang kanak-kanak.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, berkata kesemua mangsa berjaya dikeluarkan selepas operasi menyelamat yang mengambil masa hampir tujuh jam.

 “Keseluruhan mangsa terlibat ialah 11 orang. Empat mangsa selamat, termasuk seorang cedera patah kaki. Selebihnya, tujuh mangsa disahkan meninggal dunia.

“Mangsa terakhir ditemui kira-kira jam 3.45 petang,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata proses mengeluarkan mangsa terakhir mengambil masa lebih lama kerana mangsa tertimbus lebih dalam di bawah runtuhan rumah dan timbunan sampah.

“Operasi bermula sekitar 10.30 pagi dan tamat jam 3.45 petang. Kawasan runtuhan ini curam, dipenuhi tanah dan sampah dianggarkan seberat 20 hingga 30 tan. Kami juga bimbang berlaku runtuhan susulan jika cuaca buruk,” jelasnya.

Kasim turut memaklumkan kawasan kejadian ditutup sementara bagi siasatan dan keselamatan.

Pemindahan penduduk di kawasan berisiko akan dilakukan selewat-lewatnya pagi esok.

Beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi, cerun curam, atau berhampiran pokok besar supaya segera berpindah jika diarahkan pihak berkuasa.

“Kita tidak mahu kehilangan nyawa lagi seperti yang berlaku hari ini. Dengar nasihat pihak berkuasa untuk keselamatan semua,” tambahnya.

Operasi menyelamat melibatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Unit K9, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semua agensi bersepadu memastikan lokasi selamat dan tiada risiko susulan sebelum menamatkan operasi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img