POLIS mengesahkan tiada penemuan mayat mangsa terbaharu susulan tragedi bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand minggu lalu, setakat semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, setakat ini jumlah mangsa yang ditemukan maut kekal 28 orang manakala 14 lagi selamat dan pihaknya percaya tiada mangsa yang hidup terlepas ke daratan.
“Setakat semalam, tiada maklumat daripada orang awam berhubung sebarang penemuan mangsa sama ada hidup atau meninggal dunia.
“Kita juga tidak menerima sebarang maklumat berkenaan pendaratan pendatang tanpa izin di mana-mana lokasi dalam sektor pencarian kita,” katanya kepada pemberita di Langkawi hari ini, lapor Bernama.
Khairul Azhar berkata, pihaknya turut melakukan pemantauan di pulau-pulau berdekatan dan tidak menemukan sebarang petunjuk mengenai keberadaan migran di situ.
“Kita juga tidak mengesan kedudukan sebuah lagi bot yang dikatakan membawa 230 migran lain,” katanya.
Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) mangsa insiden itu diteruskan hari ini bermula 7.30 pagi dengan sektor pencarian dikecilkan kepada 33.86 batu nautika persegi.
Operasi pada hari ketujuh itu hanya melibatkan empat aset, iaitu Maritim Malaysia, Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia.
“Ia bagi mengoptimumkan penggunaan sumber. Aset lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta agensi sokongan berada dalam mod bersedia,” katanya.
Menurut Maritim Malaysia, keluasan keseluruhan sektor pencarian sepanjang enam hari operasi sebelum ini adalah 1,355.13 batu nautika persegi.


