POLIS sedang memburu sekurang-kurangnya tiga lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kes penemuan mayat seorang wanita di dalam beg yang ditanam di sebuah rumah di Kampung Batu 4, Pedas, Negeri Sembilan pada Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, setakat ini keterangan daripada ramai saksi telah diambil bagi membantu siasatan dan polis sedang menjejaki suspek yang masih bebas.
Menurutnya, usaha mengesan suspek lain sedang giat dijalankan susulan penahanan dua lelaki berkaitan kes berkenaan.
Sementara itu, Muhammad Idzam juga tidak menolak kemungkinan pembunuhan wanita berpunca daripada pertengkaran melibatkan isu kewangan.
Tambahnya, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek utama dipercayai terlibat dalam pertengkaran sebelum kejadian berlaku.
Menurutnya, konflik tersebut dikatakan berpunca apabila mangsa dipercayai meminta wang daripada suspek.
“Suspek utama yang ditahan di Genting Sempah semalam baru sahaja direman pagi ini, justeru proses soal siasat masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.
“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek, dipercayai berkaitan permintaan wang oleh mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut bagi mendapatkan gambaran lengkap berhubung punca pembunuhan, termasuk kemungkinan motif lain.


