POLIS menahan seorang guru lelaki yang mengajar di sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) di ibu negara bagi membantu siasatan dakwaan kes amang seksual terhadap murid lelaki berusia 11 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek yang berusia 40 tahun itu ditahan semalam.
Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama enam hari sehingga 25 Disember depan bagi membantu siasatan.
“Suspek seorang lelaki berumur 40 tahun dan telah mengajar di sekolah berkenaan lebih kurang 11 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung satu laporan amang seksual membabitkan seorang pelajar lelaki SRA selepas pihaknya menerima laporan pada Selasa lalu.
Beliau berkata, polis sudah merakam keterangan tujuh individu termasuk mangsa bagi membantu siasatan.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” kata Mohammad Lazim.


