
meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak tegas dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap media China Press berhubung tajuk berita berkaitan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.
Dalam kenyataan hari ini, beliau mendakwa, tindakan China Press yang membuat tajuk berita berbeza dengan maksud sebenar titah Sultan Ibrahim bukan sahaja tidak beradab, malah boleh mengundang salah faham serta menjejaskan keharmonian negara.
‘’Saya menggesa KDN untuk bertindak tegas dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kenyataan tersebut, walaupun pihak berkenaan telah menukar kandungan selepas ia tular. Tindakan mengubah kenyataan tidak memadam kesalahan yang telah dilakukan,’’ tegasnya.
Semalam pendakwah bebas Firdaus Wong mendedahkan tajuk berita China Press yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada kaum Cina apabila menyebut Sultan Ibrahim bertitah ‘’Tidak tahu bahasa Melayu, jangan duduk Malaysia’’.
Kata Firdaus melalui Facebook beliau, ‘’Apa yang disebut oleh Yang di-Pertuan Agong ialah “Kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia”.
‘’Tetapi apa yang ditulis oleh China Press ialah; “Tidak tahu bahasa Melayu, jangan duduk Malaysia” Jauh beza makna ayat tidak tahu & tidak terima. ‘Thumbnail’ tajuk berita tulis “Tidak tahu bahasa Melayu, jangan duduk Malaysia” tetapi tajuk di dalam artikel pula, “YDPA: Untuk iktiraf sistem pendidikan lain, mesti terima Bahasa Melayu dan sejarah”,’’ kata Firdaus.
China Press kemudian memperbetulkan ayat tersebut kepada,’’.Tidak terima bahasa Melayu, jangan duduk Malaysia.’’
Mengulas lanjut Armand Azha berkata, titah Yang di-Pertuan Agong adalah berlandaskan Perlembagaan Negara, khususnya berkaitan kedudukan dan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.
‘’Perkara ini wajib dihormati dan diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia, bukannya dipersenda atau diputar belit oleh mana-mana pihak.Sikap seperti ini tidak boleh dinormalisasikan dan mesti diberi pengajaran agar tidak berulang pada masa hadapan,’’ katanya.


