Wanita maut, suami cedera parah kereta dinaiki dirempuh kenderaan lain

SEORANG wanita maut manakala suaminya parah apabila kereta Proton Saga dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Toyota Yaris di Kilometer 22.53 (Batu 14) Jalan Labis–Yong Peng di Batu Pahat malam tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku pada jam 8.45 malam ketika mangsa berusia 57 tahun menaiki kereta Proton Saga dipandu suaminya berusia 64 tahun.

MANGSA yang maut dipercayai bertugas sebagai jururawat di Hospital Sultanah Nora Ismail

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kenderaan mangsa dan suami ketika kejadian datang dari arah Segamat menghala ke Yong Peng untuk pulang ke rumah di Parit Raja.

“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kereta pasangan itu dikatakan dilanggar oleh sebuah Toyota Yaris dipandu seorang wanita tempatan berusia 32 tahun, dipercayai hilang kawalan dari arah bertentangan.

KERETA dinaiki mangsa terbakar selepas kemalangan. GAMBAR: Facebook pembaca

“Berikutan rempuhan itu, mangsa wanita mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat kira-kira jam 10.20 malam hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Shahrulanuar Mushaddat, pemandu Proton Saga iaitu suami mangsa turut mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan kaki serta sedang menerima rawatan di Zon Merah hospital berkenaan.

Katanya, pemandu Toyota Yaris dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan kaki.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img