Wanita warga emas mangsa penipuan dalam talian kerugian hampir RM760,000

SEORANG wanita warga emas kerugian hampir RM760,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan judi dalam talian sejak Oktober lalu.

Mangsa yang merupakan ejen hartanah berusia 64 tahun membuat laporan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya pada Khamis lalu mendakwa menjadi mangsa penipuan sindiket itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa mulanya tertarik untuk menyertai satu skim pelaburan judi dalam talian selepas dihubungi seorang lelaki tidak dikenali.

“Pada peringkat awal, suspek menghubungi mangsa dengan bertanyakan mengenai khidmat pembantu rumah sebelum mangsa memberikan nombor telefon rakannya yang menjalankan perkhidmatan tersebut.

“Suspek kemudiannya kerap menghubungi mangsa dan memperkenalkan satu pelaburan judi dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizee berkata, mangsa membuat pelaburan pertama dan mendapat keuntungan RM3,000.

Menurutnya, selepas meraih keuntungan, mangsa telah melakukan 20 transaksi pemindahan wang ke dalam lapan akaun bank milik syarikat berbeza mulai 26 November hingga 8 Disember lalu.

Bagaimanapun katanya, mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila tidak lagi menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan.

“Malah, mangsa diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran keuntungan,” katanya.

Azizee berkata, curiga dengan situasi tersebut, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis.

Jelasnya, jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa dianggarkan sebanyak RM759,950 dan siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Azizee dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan, khususnya yang dipromosikan secara dalam talian dan menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan individu atau entiti terbabit mempunyai kebenaran sah untuk menawarkan produk atau perkhidmatan pelaburan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img