KIRA-kira 100 penduduk Kampung Sungai Mok di Rompin, Pahang terputus hubungan apabila jambatan utama yang menghubungkan kampung berkenaan runtuh pagi ini.
Runtuhan jambatan itu dipercayai berlaku kira-kira jam 8 pagi menyebabkan penduduk di kampung tersebut tidak dapat keluar daripada penempatan mereka.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, sebaik sahaja dimaklumkan mengenaikejadian itu, polis menggerakkan misi bantuan kemanusiaan bagi memindahkan mangsa berisiko termasuk ibu mengandung dan warga emas menggunakan bot.

Menurutnya, mangsa yang dipindahkan terdiri daripada wanita berusia 25 tahun yang dijangka bersalin pada 7 Januari ini, warga emas serta kanak-kanak bagi memudahkan urusan mendapatkan rawatan hospital dan keperluan lain.
Katanya, tindakan awal itu dilakukan sebagai persediaan mengelak kesukaran dihadapi pasukan penyelamat sekiranya proses pemindahan terpaksa dilakukan dalam cuaca buruk.
“Berdasarkan ramalan cuaca yang dikeluarkan, kawasan ini masih mengalami musim monsun dan kerosakan jambatan kecil itu akan menyukarkan proses pemindahan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya, lapor Sinar Harian.
Sharif Shai berkata, setakat ini penduduk kampung yang lain memilih untuk tinggal di rumah masing-masing.
“Ada antara mereka masih boleh menggunakan jalan ladang ke Kampung Denai untuk keluar ke Tanjung Gemok mengambil masa kira-kira satu jam.
“Sekiranya keadaan bertambah serius kami akan meneliti kemungkinan untuk memindahkan penduduk yang lain sekiranya perlu. Setakat ni tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka,” ujarnya.
Beliau berkata, tindakan pantas polis itu menunjukkan keprihatinan terhadap keselamatan mangsa serta kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi kecemasan.


