SEBUAH kereta api khas Bangkok–Ubon Ratchathani tergelincir daripada landasan selepas melanggar sebuah kren pembinaan yang runtuh di daerah Sikhiu, Nakhon Ratchasima, mengorbankan sekurang-kurangnya 22 penumpang dan mencederakan 55 yang lain.
Kejadian berlaku sekitar jam 9.05 pagi di laluan kereta api Ban Thanon Kod, kira-kira 230 kilometer di timur laut Bangkok. Kereta api khas No. 21 itu bergerak pada kelajuan kira-kira 120 km sejam dan bertolak dari Stesen Krung Thep Apiwat pada jam 5 pagi menuju ke Ubon Ratchathani.
Siasatan awal mendapati sebuah kren yang digunakan dalam pembinaan jambatan kereta api berkelajuan tinggi telah runtuh dan menghalang landasan. Kereta api penumpang yang sedang menghampiri melanggar kren tersebut, menyebabkan ia tergelincir dan bahan binaan lain turut jatuh menimpa gerabak.
Kren berkenaan dilaporkan jatuh menimpa gerabak kedua yang membawa kira-kira 40 penumpang. Kebakaran tercetus, terutamanya di gerabak kedua, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat kerana kereta api berhawa dingin itu dilengkapi pintu elektrik automatik dan tingkap tertutup yang tidak boleh dibuka secara manual.
Pasukan penyelamat menggunakan peralatan pemotong hidraulik untuk mengeluarkan penumpang yang terperangkap daripada runtuhan. Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sikhiu, Sung Noen dan Maharat Nakhon Ratchasima, lapor Bangkok Post
Pihak berkuasa mengesahkan 17 mayat ditemui di dalam gerabak kedua, manakala lima lagi mangsa ditemui terperangkap dalam runtuhan, menjadikan jumlah kematian 22 orang.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan, Phiphat Ratchakitprakarn, berkata beliau telah mengarahkan Kereta Api Negara Thailand (SRT) menjalankan siasatan penuh bagi mengenal pasti punca runtuhan kren tersebut.
Walaupun laporan awal menyatakan kereta api membawa 120 penumpang, SRT kemudian menjelaskan bahawa kereta api itu terdiri daripada tiga gerabak dengan jumlah keseluruhan 195 penumpang dan kakitangan berdasarkan pelan tempat duduk.


