SEORANG pemandu e-hailing cedera di bibir dan dahi selepas didakwa ditumbuk seorang penumpang warga China dalam kejadian di Bandar Baru Nilai, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, kejadian dipercayai bermula daripada salah faham sebelum berlarutan kepada pertengkaran dan berakhir dengan pergaduhan.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menerima satu laporan kira-kira pukul 3.40 pagi daripada seorang lelaki tempatan berkaitan kejadian pergaduhan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.
Menurutnya, kejadian itu membabitkan seorang pemandu e-hailing dengan seorang lelaki warga asing di kawasan Bandar Baru Nilai, dengan laporan awal menyatakan insiden berpunca daripada salah faham yang mencetuskan pertengkaran sebelum berlaku pergelutan.
“Pemandu berkenaan mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan,” katanya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.


