Isu e-waste: Tiada campur tangan Kabinet dalam siasatan ke atas JAS – Fahmi

KERAJAAN mengingatkan semua Menteri supaya menegakkan integriti dan mengelakkan sebarang tindakan tidak diingini ketika agensi penguat kuasa meneruskan siasatan berprofil tinggi, termasuk kes rasuah besar membabitkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan kepentingan penguatkuasaan undang-undang serta usaha memelihara keyakinan rakyat terhadap institusi awam.

“Perdana menteri telah mengingatkan semua Menteri Kabinet supaya memastikan integriti sentiasa dipelihara dan tiada sebarang tindakan tidak diingini dilakukan,” katanya pada sidang media mingguan di Menara Komunikasi, Putrajaya hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, kebimbangan turut dibangkitkan berhubung beberapa tindakan penguatkuasaan yang dilihat tidak membantu dan berisiko menjejaskan kepercayaan terhadap institusi awam.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Kabinet tidak campur tangan dalam mana-mana siasatan yang sedang dijalankan secara bebas oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Ini adalah tindakan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Kabinet tidak mencampuri isu ini.

“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas SPRM menahan Ketua Pengarah JAS dan timbalannya bagi membantu siasatan kes sisa elektronik (e-waste).

Hari ini kedua-dua mereka bersama seorang pegawai pembantu JAS direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan, manakala seorang individu awam direman selama tiga hari.

Siasatan tertumpu kepada dakwaan penyalahgunaan kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan e-waste sejak beberapa tahun lalu dan disiasat mengikut Akta SPRM 2009.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img