SEORANG pemandu lori cedera parah di lengan kiri selepas ditetak dua individu tidak dikenali di Taman Sri Murni, Batu Caves, Selangor pada Jumaat lalu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam di kawasan Blok 58 Flat Taman Sri Murni apabila mangsa yang berusia 28 tahun cedera di lengan kiri selepas ditetak empat kali menggunakan parang.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, suspek dua lelaki bertopi keledar menaiki sebuah motosikal menetak mangsa sebelum memecut motosikal dan melarikan diri.
“Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali suspek. Semasa kejadian, secara tiba-tiba suspek menghampiri mangsa dan terus keluarkan parang menetak lengan mangsa.
“Mangsa juga memaklumkan tidak pernah bermusuh dengan sesiapa, tidak berhutang dengan mana-mana pihak serta tidak mengesyaki sesiapa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Sukarno berkata, menurut saksi kejadian, iaitu teman wanita mangsa yang turut berada di tempat insiden, kejadian itu berlaku amat pantas sehingga wajah suspek yang memakai topi keledar tidak dapat dikenal pasti.
Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Selayang dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.


