Polis tumpaskan dua sindiket edar dadah, rampasan bernilai lebih RM193 juta

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan tempatan selepas menahan enam individu termasuk dalang utama, dengan nilai rampasan dadah mencecah RM193.25 juta.

Penahanan kesemua suspek dilakukan menerusi operasi khas Op Allograpta dan Op Apiocera yang dijalankan bermula 30 Januari hingga 3 Februari lalu.

DATUK Hussein Omar Khan (tengah) bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus (kiri) dalam sidang media kejayaan menumpaskan dua sindiket dalam operasi Op Allograpta dan Op Apiocera di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR: JSJN PDRM

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam dua serbuan Op Apiocera di Kepong, Kuala Lumpur dan Subang Jaya, Selangor merekodkan rampasan dadah bernilai RM180 juta.

Menurut beliau, dalam serbuan itu polis menemukan pelbagai jenis dadah iaitu serbuk MDMA seberat 843.8 kilogram (kg), pil Erimin 5 (325.2kg), pil ekstasi (104.3kg), ketamin (97.7kg) dan methamphetamine (9.5kg).

“Dalam operasi ini polis telah menahan tiga individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 38 hingga 58 tahun.

“Suspek lelaki merupakan ketua sindiket yang mengatur gerak kerja pengedaran dadah di pasaran tempatan dan luar negara dengan dibantu seorang wanita warga asing yang juga kekasihnya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Hussein memberitahu, sindiket yang aktif sejak awal Januari lalu itu menjadikan rumah sewa di kawasan Lembah Klang sebagai lokasi penyimpanan dadah.

Katanya, pihak polis turut menyita tiga kenderaan mewah termasuk Toyota Alphard, Honda Accord dan Perodua Myvi dengan nilai sitaan harta berjumlah RM118,800.

Mengulas mengenai Op Allograpta yang dilancarkan pada 30 Januari lalu, beliau berkata, tiga lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 48 tahun ditahan dengan rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 265 kg bernilai RM13.25 juta.

Hussein berkata, ketiga-tiga suspek termasuk ketua sindiket ditahan di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah, Pahang, selain serbuan susulan di kawasan parkir sekitar Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

“Modus operandi sindiket yang aktif sejak 2024 ini adalah menggunakan kereta sewa untuk membawa dadah dari Kelantan ke Lembah Klang.

“Kenderaan berisi dadah itu kemudiannya ditinggalkan di kawasan parkir tertentu sebelum diambil oleh ahli sindiket lain tanpa perlu bertemu,” ujarnya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tegas beliau, kejayaan berkenaan hasil risikan berterusan pihak polis dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dadah, dan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk ‘jerung’ dadah demi menjaga keselamatan serta imej negara.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img