SEORANG peniaga kerugian lebih RM335,000 akibat pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook pada November lalu.
Mangsa lelaki berusia 51 tahun sebelum itu dihubungi seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp dan ditawarkan pelaburan saham dengan pulangan 12 peratus dalam tempoh tiga hingga tujuh hari.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, tertarik dengan pelaburan itu, mangsa telah membuat 19 transaksi pemindahan wang ke dua akaun bank dari 4 Disember tahun lepas hingga 27 Januari dengan menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada rakan.
“Mangsa dimaklumkan telah memperoleh keuntungan sehingga lebih RM2.4 juta, namun diminta membuat bayaran tambahan 10 peratus daripada jumlah itu sebagai syarat untuk mengeluarkan wang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Yahaya, selepas menyedari menjadi mangsa penipuan, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


