PERGERAKAN Pemuda UMNO berhasrat menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada individu yang ditahan dalam himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di ibu negara malam tadi.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya difahamkan beberapa individu yang ditahan pihak berkuasa dalam perhimpunan itu dijangka didakwa di mahkamah pada bulan hadapan.
“insya-Allah Pergerakan Pemuda UMNO menawarkan khidmat peguam dalam kalangan kami secara percuma kepada mereka yang ditahan.
“Jangan risau, kami bersama dengan anda semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dr Muhamad Akmal dalam pada itu menegaskan bahawa hak rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan.
Menurut beliau, kerajaan sepatutnya menjadi pelindung kepada golongan yang ditahan itu.
“Atas sebab apa mereka ini ditangkap dan ditahan oleh pihak berkuasa semalam? Adakah hak itu sudah tidak sah lagi?.
“Seperti mana pihak pembangkang sebelum ini menuntut hak rakyat untuk keluar berhimpun, hak itu sepatutnya dipertahankan juga ketika mereka menerajui kerajaan pada hari ini, bukannya menakutkan rakyat dengan kuasa yang ada pada kamu.
“Sepatutnya tahan orang yang menceroboh tanah, bukannya tahan orang yang mempertahankan pencerobohan!” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.
Media hari ini melaporkan, polis menahan seramai 19 individu termasuk peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan dua aktivis bagi membantu siasatan berhubung penganjuran himpunan GARAH berhampiran pusat beli-belah Sogo di ibu negara malam tadi.
Dua aktivis terbabit ialah penyelaras himpunan GARAH, Zamri Vinoth dan Pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari Abdul Razak.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mengesahkan kedua-duanya direman selama dua hari bermula Ahad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut.
Perhimpunan aman dengan sokongan 141 badan bukan kerajaan (NGO) itu dipercayai dirancang bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah anutan haram yang didakwa semakin berleluasa.


