`Saya sudah bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa’ – Pengerusi bukan eksekutif IJM Corp

PENGERUSI bukan eksekutif IJM Corporation Bhd (IJM Corp), Tan Sri Krishnan Tan berkata, beliau telah bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dan akan terus berbuat demikian dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Melalui satu kenyataan hari ini, beliau menafikan penglibatannya dalam operasi harian dan pengurusan syarikat itu.

“Saya telah memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa dan akan terus berbuat demikian. Saya mempunyai keyakinan sepenuhnya terhadap proses penguatkuasaan dan undang-undang negara.

“Pada ketika ini, adalah tidak wajar untuk saya mengulas lanjut memandangkan siasatan sedang berjalan,” katanya menerusi kenyataan itu.

Pada Jumaat lalu, SPRM memaklumkan telah menahan Pengerusi syarikat IJM Corp berhubung kes berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 70-an itu telah ditahan kira-kira jam 7 malam pada 5 Februari di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas kediaman beliau diperiksa.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, IJM Corp memaklumkan, syarikat itu telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dengan memberi maklum balas segera kepada semua permintaan selain maklumat mengenai kakitangan berkaitan, berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM.

Lembaga pengarahnya memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa operasi perniagaan syarikat itu diteruskan seperti biasa.

IJM Corp telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan perniagaan kumpulan itu dijalankan dengan integriti dan bebas rasuah.

Kumpulan itu menegaskan ia telah mewujudkan prosedur yang mencukupi termasuk mengekalkan rangka kerja tadbir urus yang teguh seperti pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Sogokan yang diperakui ISO 37001:2025.

Lembaga pengarah dan pasukan pengurusannya tetap fokus pada kesinambungan perniagaan, mengekalkan keyakinan di kalangan pelanggan dan rakan kongsi serta menegakkan tadbir urus korporat dan piawaian pematuhan yang terbaik.

“Memandangkan perkara ini sedang dalam siasatan, syarikat tidak akan membuat ulasan lanjut pada peringkat sekarang.

“Syarikat akan menyediakan kemas kini yang bersesuaian dan mengikut keperluan undang-undang serta peraturan yang terpakai,” kata IJM Corp.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img