POLIS menahan dua remaja lelaki selepas video memaparkan aksi berbahaya menunggang motosikal secara ‘wheelie’ di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur tular dalam media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kedua-dua mereka ditahan di rumah masing-masing di sekitar Sungai Buloh pada jam 2 dan 2.30 pagi ini.
“Tangkapan melibatkan seorang lelaki berumur 18 tahun iaitu penunggang dan seorang lagi lelaki berumur 15 tahun merupakan pembonceng. Turut dirampas sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu video berdurasi 14 saat dimuat naik di Facebook memaparkan penunggang motosikal mengangkat tayar hadapan, manakala pembonceng melakukan aksi berbahaya dengan menyeretkan kepalanya atas jalan raya.
Kejadian dipercayai berlaku di Jalan Tun Razak pada 30 Januari lalu antara jam 3.30 pagi hingga 4 pagi.
Video itu mendapat perhatian ramai dengan lebih 1,500 tanda suka dan puluhan komen di Facebook.
Sementara itu, Mohd Zamzuri berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Beliau turut meminta orang ramai atau saksi kejadian tampil membantu siasatan.


