SEORANG jemaah masjid, Allahyarham Alias Abd Ghani, 69, disahkan meninggal dunia selepas dilihat rebah ketika rukuk semasa menunaikan solat Zohor di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, semalam.
Menerusi hantaran Facebook Masjid Al-Khairiyah, pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat komuniti setempat yang berlaku tepat pada hari pertama Ramadan.
“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang reda lagi diredai-Nya.
“Satu kehilangan besar buat komuniti Taman Seri Gombak. Telah pulangnya Alias Abd Ghani menemui Pencipta-Nya tepat pada hari pertama Ramadan,” tulis hantaran itu pada hari ini, lapor Harian Metro.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Allahyarham terduduk dalam keadaan sujud sebelum seorang jemaah membatalkan solat dan segera membantu.
Berdasarkan hantaran sama, solat jenazah Allahyarham akan dilaksanakan selepas solat Jumaat di Masjid Al-Khairiyah, Gombak, hari ini.
Katanya, urusan pengebumian jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Bukit Permata.
“Semoga Allah mengganjari Allahyarham dengan syurga-Nya atas segala jasa baik dan amal ibadah yang dilakukan sepanjang hayatnya,” katanya.


