Kenderaan suspek pencuri kabel terbabas, rempuh rumah ketika dikejar polis

SEBUAH kenderaan pacuan empat roda dinaiki dua lelaki terbabas dan merempuh sebuah rumah ketika melarikan diri dari dikejar polis dalam kejadian di Kampung Parit Panjang, Baling, Kedah, semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, dua lelaki terbabit disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di Kampung Star Kecil, Kerunai selepas pihaknya menerima maklumat orang awam sekitar jam 9.25 malam.

Beliau berkata, susulan maklumat itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu berjaya mengesan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki suspek kira-kira jam 11.38 malam di persimpangan Taman 1Malaysia.

“Anggota MPV kemudian mengejar kenderaan tersebut sebelum dibantu oleh anggota dari IPD Gerik yang turut menyertai operasi.

“Kenderaan suspek melarikan diri menghala ke Jalan Gerik-Kupang sehingga memasuki kawasan Baling, Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Samad berkata, semasa aksi kejar berkenaan, salah seorang suspek membaling beberapa objek termasuk alat pemotong, paku dan kabel ke arah kenderaan polis bagi menghalang operasi.

Katanya, sekitar jam 12.30 tengah malam, kenderaan yang dipandu suspek terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kampung Parit Panjang.

“Pemilik rumah yang tinggal bersama ibu dan adik perempuannya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Suspek bertindak melarikan diri sejurus selepas kemalangan itu,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui 20 gulung kabel telekomunikasi, sebuah telefon bimbit jenis Realme, tiga pemotong kabel serta sebatang pencungkil besi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan mencuri tersebut.

Ujarnya, kenderaan yang digunakan suspek merupakan kenderaan sewa dan usaha mengesan kedua-dua suspek kini sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img