DUA suspek akhir kes samun berkumpulan yang membabitkan enam lelaki termasuk dua pegawai kanan dan seorang anggota polis di Gombak pada 27 Februari lalu, sudah ditahan, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kedua-dua individu berkenaan kini dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut.
Beliau turut mendedahkan, hasil soal siasat mendapati perancang utama jenayah samun berkenaan adalah orang awam yang juga seorang daripada ahli kumpulan.
“Kes samun di Gombak ini telah selesai disiasat dan kesemua suspek yang terlibat berjaya ditangkap oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak. Perancang utama adalah orang awam dalam kumpulan suspek itu.
“Kertas siasatan juga sudah diedarkan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Bukit Aman untuk dikaji dan pandangan kerana kes ini melibatkan suspek yang bertugas sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, setakat ini pihak polis memperoleh beberapa dapatan positif hasil siasatan yang dijalankan.
“Sekiranya ada perkembangan baik, saya akan kongsikan kepada pihak media,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua pegawai kanan dan seorang anggota polis antara enam lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan di Gombak dalam kejadian 7.30 pagi pada 27 Februari lalu.
Hasil pemeriksaan mendapati salah seorang suspek awam yang ditahan mempunyai 20 rekod jenayah lampau.


