Aktiviti lombong haram: 2 lelaki ditahan, jentera RM2.5j dirampas

BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua pekerja serta merampas jentera bernilai RM2.5 juta dalam serbuan di sebuah tapak perlombongan bijih besi haram di Kemaman, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dijalankan bersama anggota Cawangan Risikan Briged Tenggara dengan pegawai dari Pejabat Tanah Kemaman.

KEGIATAN perlombongan tanpa kebenaran dikesan dalam serbuan Briged Tenggara PGA dan Pejabat Tanah di Kemaman, semalam. GAMBAR: PGA

Menurut beliau, pasukan terbabit bergerak ke kawasan perlombongan itu kira-kira jam 2.30 petang susulan maklumat mengenai aktiviti pembersihan tanah dan perlombongan yang disyaki dijalankan secara haram.

Hasil pemeriksaan katanya, aktiviti perlombongan dikesan giat dijalankan di tapak berkenaan, manakala dua lelaki ditemui gagal menunjukkan sebarang dokumen yang membenarkan aktiviti perlombongan di situ.

SALAH sebuah jentera berat yang disita kerana menjalankan kerja perlombongan tanpa kebenaran dalam serbuan Briged Tenggara PGA dan Pejabat Tanah di Kemaman, semalam. GAMBAR: PGA

“Dua lelaki berusia 49 dan 37 tahun ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Ayer Puteh, manakala lima jentera pengorek dianggarkan bernilai RM2.5 juta dirampas.

“Ketika serbuan, pasukan turut menemukan serpihan batu dipercayai mengandungi bijih besi di lokasi itu, namun tiada peralatan perlombongan lain ditemui selain jentera pengorek terbabit,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati syarikat mengemukakan permohonan bertarikh 17 Disember tahun lalu kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Terengganu untuk menjalankan aktiviti perlombongan bijih besi di kawasan itu.

Bagaimanapun, katanya pengesahan Pejabat Tanah dan Galian negeri mendapati tiada sebarang kelulusan diberikan.

Kes ini katanya, disiasat di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img