BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua pekerja serta merampas jentera bernilai RM2.5 juta dalam serbuan di sebuah tapak perlombongan bijih besi haram di Kemaman, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dijalankan bersama anggota Cawangan Risikan Briged Tenggara dengan pegawai dari Pejabat Tanah Kemaman.

Menurut beliau, pasukan terbabit bergerak ke kawasan perlombongan itu kira-kira jam 2.30 petang susulan maklumat mengenai aktiviti pembersihan tanah dan perlombongan yang disyaki dijalankan secara haram.
Hasil pemeriksaan katanya, aktiviti perlombongan dikesan giat dijalankan di tapak berkenaan, manakala dua lelaki ditemui gagal menunjukkan sebarang dokumen yang membenarkan aktiviti perlombongan di situ.

“Dua lelaki berusia 49 dan 37 tahun ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Ayer Puteh, manakala lima jentera pengorek dianggarkan bernilai RM2.5 juta dirampas.
“Ketika serbuan, pasukan turut menemukan serpihan batu dipercayai mengandungi bijih besi di lokasi itu, namun tiada peralatan perlombongan lain ditemui selain jentera pengorek terbabit,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati syarikat mengemukakan permohonan bertarikh 17 Disember tahun lalu kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Terengganu untuk menjalankan aktiviti perlombongan bijih besi di kawasan itu.
Bagaimanapun, katanya pengesahan Pejabat Tanah dan Galian negeri mendapati tiada sebarang kelulusan diberikan.
Kes ini katanya, disiasat di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.


