SEORANG buruh binaan cedera akibat dipukul sekumpulan lelaki dalam kejadian rusuhan di tepi jalan berhampiran Masjid Ar-Rabbani Tangga Batu, Melaka awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun dikatakan ditegur oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati dan menuduh dia menjadi punca adiknya ditangkap polis berhubung kes kecurian motosikal.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati suspek bersama beberapa rakannya didakwa mengepung mangsa sebelum menyerangnya menggunakan topi keledar.
“Mangsa dilaporkan dipukul pada bahu kanan menggunakan topi keledar oleh suspek.
“Manakala rakan suspek turut mengejar serta menghayun topi keledar ke arah mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulkhairi berkata, keadaan bertambah tegang apabila suspek dipercayai memukul kepala mangsa menggunakan sebatang kayu sehingga menyebabkan kecederaan.
“Mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Melaka namun dibenarkan pulang.
“Bagaimanapun setakat ini belum ada sebarang tangkapan, namun polis mengenal pasti lima individu berusia 20 hingga 30-an dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu,” katanya.
Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan salah faham berhubung dakwaan mencuri motosikal dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan penunggang motosikal di hadapan masjid berkenaan.
Kejadian itu tular di media sosial yang memaparkan lebih 20 penunggang motosikal terbabit dalam pergaduhan di tepi jalan, termasuk menggunakan topi keledar.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, kejadian itu menimbulkan kebimbangan kerana berlaku di kawasan beliau serta membabitkan golongan anak muda.


