DUA maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di laluan berhampiran simpang Felda Sungai Ara, di Kota Tinggi pagi tadi.
Pasukan penyelamat menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.57 pagi sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dan BBP Mersing dikejarkan ke lokasi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Azlan Hamzah berkata, dua buah kereta terlibat dalam nahas berkenaan iaitu Nissan Sentra dan Proton Saga.
“Terdapat seorang lelaki dan seorang wanita tersepit dalam kenderaan dan mereka kemudian disahkan meninggal dunia oleh anggota petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
“Selain itu, tiga lelaki dan seorang wanita cedera yang diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azlan berkata, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa tersepit dalam operasi itu ditamatkan pada jam 10.18 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, siasatan lanjut berkaitan punca nahas itu sedang dijalankan.


