Polis buru 2 lelaki samun kedai serbaneka guna parang, larikan RM600

SEORANG pekerja kedai serbaneka di Melati Square, Nilai berdepan detik cemas apabila premis tempatnya bekerja, disamun lelaki yang bersenjatakan parang awal pagi semalam.

Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV), salah seorang suspek berjaket warna kelabu dilihat beberapa kali mengacukan parang ke arah kaunter, sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM600.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, kedua-dua suspek memakai jaket dan bertopi keledar serta menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 warna ungu.

“Pada 3.30 pagi semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menerima satu laporan polis berkaitan kejadian samun bersenjata yang berlaku di sebuah premis serbaneka di kawasan Melati Square.

“Dalam kejadian itu, dua suspek lelaki tempatan masuk ke premis dan mengugut pekerja menggunakan senjata sebelum melarikan wang tunai dari kaunter,” katanya hari ini.

Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Kata beliau, polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan dan menangkap suspek yang terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Nilai atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Polis menasihatkan orang ramai khususnya pengusaha premis perniagaan supaya sentiasa meningkatkan langkah keselamatan termasuk memastikan sistem CCTV berfungsi dengan baik serta sentiasa peka terhadap persekitaran.

Katanya lagi, polis juga akan meningkatkan rondaan cegah jenayah di kawasan tumpuan bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img